PPBN mudah rata FC Bari
6 Jun, 2016
PPBN tiada masalah benam FC Bari
Skuad kendalian Lim Teong Kim di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) terus memberi aksi memberangsangkan pada program Jelajah Eropah apabila melakar kemenangan kedua daripada lima aksi dengan membelasah pasukan Bawah 14 tahun (B-14) FC Bari 1908 6-0, kelmarin.
Selain kemenangan besar itu, skuad muda ini turut melakar kemenangan 5-0 ke atas pasukan B-16 SV Anzing sebelum diikat dua kelab ternama Austria dan Itali iaitu B-14 Red Bull Salzburg (0-0) serta B-14 Inter Milan (1-1).
Namun pasukan muda negara itu tewas tipis dalam aksi keempat 2-3 kepada skuad B-14 Novara Calcio yang dianggap salah sebuah pasukan muda terbaik di Eropah.
Menurut Teong Kim, anak buahnya menunjukkan sikap positif sepanjang aksi bertemu FC Bari yang juga milik ahli perniagaan negara Datuk Dr Noordin Ahmad yang membeli kelab divisyen dua itu April lalu.
“Selepas tewas kepada Novara tempoh hari, pemain mempamerkan perwatakan positif apabila berjaya bangkit dengan aksi lebih tersusun dan kemas sepanjang perlawanan.
“Namun masih ada beberapa kelemahan terutama dari segi hantaran yang perlu diperbaiki segera sebelum kami menyertai Kejohanan Piala Elite di Perancis nanti,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Berdasarkan jadual sepanjang program Jelajah Eropah ini, skuad negara akan menyertai saingan Piala Elite yang dianjurkan kelab gergasi Perancis iaitu Paris Saint-Germain (PSG) bermula 11-12 Jun ini, bagi menggantikan saingan Piala Iber Costa Del Sol yang tidak akan dipertahankan.
Bagaimanapun, sebelum anak didik Teong Kim berangkat ke Perancis, mereka akan diuji terlebih dahulu oleh dua buah lagi kelab Itali, FC Lugano yang dijadualkan pada awal pagi ini serta Juventus awal pagi esok.
Sumber - Harian Metro,
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur