MAKLUMAT TERKINI

Malaysia, Inter Milan terikat

1 Jun, 2016

Barisan kesebelasan Skuad Malaysia B-14 tahun

Kuala Lumpur: Skuad muda negara Bawah 14 tahun (B-14) Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) diikat gergasi bola sepak Itali, Inter Milan B-14 1-1 pada aksi ketiga siri jelajah Eropah, awal pagi tadi.

Inter yang baru dinobatkan selaku juara liga remaja di negara itu nyaris dimalukan skuad kendalian Lim Teong Kim apabila terpaksa bangkit memburu jaringan penyamaan selepas ketinggalan pada awal permainan.

Antara aksi pemain Malaysia B-14 ketika bertemu pasukan Inter Milan B-14

Malaysia yang hadir dengan reputasi besar juara Piala Iber Costa Del Sol di Sepanyol musim lalu mendahului pasukan tuan rumah menerusi jaringan ketua pasukan, Alias Alan pada minit ke-25.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak dapat dipertahankan apabila Inter berjaya membalasnya pada minit ke-42, sekali gus keputusan itu kekal hingga tamat aksi.

Terdahulu, anak didik bekas pemain kebangsaan itu merakamkan kemenangan besar 5-0 ke atas kelab Jerman, SV Anzing B-16 dalam aksi pertama Sabtu lalu, sebelum diikat tanpa jaringan oleh Red Bull Salzburg B-14 sehari kemudian.

Malaysia B-14 seri tanpa jaringan ketika menentang Red Bull Salzburg B-14

Selepas ini, Malaysia akan meneruskan siri jelajah mereka dan bakal diuji satu lagi kelab Itali, Novara Calcio pada Khamis ini.

Ketika ini, kelompok 24 pemain harapan negara ini akan didedahkan dengan 13 perlawanan persahabatan di lima negara termasuk Jerman, Perancis, Switzerland, Austria dan Itali.

Mereka juga dijangka menyertai Kejohanan Piala Elite di Mougins, Perancis dari 11-12 Jun ini bagi menggantikan saingan Piala Iber yang tidak akan dipertahankan kali ini.

Sumber - Firdaus Hashim , Harian Metro
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur