MAKLUMAT TERKINI

Cabaran bermula

26 Mei, 2016

SKUAD B-14 PPBN berlepas ke Jerman bagi mengharungi program Jelajah
Eropah 28 Mei hingga 27 Jun ini.

SEPANG: Sekali lagi karakter anak didik Lim Teong Kim bakal diuji di peringkat antarabangsa apabila 24 pemain Bawah 14 tahun Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) berangkat ke Jerman menyertai program Jelajah Eropah bermula Sabtu hingga 27 Jun.

Pengarah Kanan PPBN Safirul Azli Abu Bakar berkata, kelompok pemain harapan negara ini akan didedahkan dengan 13 perlawanan persahabatan di lima negara termasuk Jerman, Perancis, Switzerland, Austria dan Itali.

Bukan itu saja, skuad yang menjuarai Piala Iber Costa Del Sol musim lalu itu akan turut menyertai Kejohanan Piala Elite di Mougins, Perancis dari 11-12 Jun bagi menggantikan saingan Piala Iber yang tidak akan dipertahankan.

“Walaupun kita tidak akan mempertahankan trofi musim lalu (Piala Iber), saya melihat saingan Piala Elite juga tidak kurang hebatnya kerana ada beberapa kelab utama Liga Perancis bertanding.

“Selain ada pasukan PSG (Paris Saint-Germain) yang juga penganjur kejohanan, kita juga akan berentap dengan kelab Belanda, Ajax Amsterdam yang mempunyai sejarah unik di benua Eropah.

“Malah pemain juga akan didedahkan dengan beberapa kelab persahabatan bertemu Lyon, AS Monaco serta pasukan dari Itali seperti Juventus dan Inter Milan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Jelas Safirul, perkara utama yang akan diambil kira pada siri jelajah kali ini adalah membentuk karakter positif setiap pemain kerana ia antara elemen penting untuk menjadi pemain bertaraf dunia.

“Kelemahan besar pemain negara kebanyakannya adalah tiadanya karakter yang kuat dalam diri masing-masing. Lebih-lebih lagi apabila kita berdepan pasukan lebih kuat.

“Sebab itu, daripada sekarang, pemain muda ini harus dibentuk karakter mereka sendiri sekali gus memiliki motivasi yang kuat ketika bertarung di atas padang.

“Justeru, menerusi aksi bertemu kelab ternama Eropah, pemain akan belajar serta tampilkan semangat juang tinggi,” katanya.

Sumber – Firdaus Hashim , Harian Metro
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur