Liga Remaja Beri Pendedahan Kepada Pemain Akademi - Khairy
19 Mei, 2016
PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Program Pembangunan Bola sepak Negara (PPBN) telah melaksanakan dua liga bola sepak remaja yang bertujuan bagi mempastikan pemain Akademi Bola Sepak Negara menerima pendedahan secukupnya.
Dua liga tersebut adalah Liga Akademi Tunas bagi pemain berusia 10 hingga 12 tahun manakala Liga PPBN bagi peringkat umur 13 hingga 17 tahun.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata liga tersebut diwujudkan selari dengan teras kerajaan untuk meningkatkan jumlah pertandingan bagi pemain-pemain skuad PPBN.
"Ini merupakan kali pertama negara kita mempunyai satu liga bola sepak yang lengkap bagi skuad remaja. Saya harap melalui liga ini, kita dapat melahirkan lebih banyak pemain muda," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara PPBN dan Adidas Malaysia.
Melalui kerjasama itu, Adidas Malaysia memberi penajaan berjumlah RM1.2 juta untuk tempoh tiga tahun melibatkan pakaian dan peralatan sukan bagi skuad PPBN.
Kedua-dua liga tersebut telah bermula dari Mac hingga Oktober ini dan pusingan akhir akan berlangsung pada November ini.
Menurut Khairy, sehingga kini 123 buah pusat PPBN telah diwujudkan melibatkan 19,252 pelatih berumur antara tujuh dan 17 tahun yang dilatih oleh 966 jurulatih.
Katanya selepas dua tahun PPBN diwujudkan, beliau serta Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim masih belum berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi pasukan itu.
Katanya dalam membentuk skuad bola sepak terbaik untuk masa depan negara, apa yang diperlukan adalah kualiti, bukan hanya sekadar bilangan pemain.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Akademi Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, yang akan menempatkan 380 pemain terbaik PPBN dijadual akan siap pada September ini.
Sumber – Bernama.com,
www.bernama.com