MAKLUMAT TERKINI

Khairy sambut ulangtahun ke-3 di KBS

19 Mei, 2016

KHAIRY JAMALUDDIN beramah mesra dengan 25 pemain skuad elit Sekolah Sukan
Bukit Jalilyang menggayakan jersi baharu tajaan Adidas untuk Program Pembangunan
Sukan Bolesepak Negara di Menara KBS, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 18 Mei – Hari ini merupakan hari istimewa kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana dapat melihat hasil positif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang diilhamkannya dua tahun lalu pada hari yang sama beliau menyambut ulangtahun ketiga sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada 2013 mengakui ini adalah detik yang cukup membanggakan dirinya selepas puas berusaha terutama untuk membangunkan bola sepak tempatan di peringkat akar umbi.

“Hari ini, saya bukan sahaja berasa istimewa kerana program ini semakin menunjukkan hasil positif tetapi juga istimewa kerana jatuh pada hari saya menyambut ulangtahun ketiga di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sudah tentu dengan pencapaian Projek PPBN setakat ini, ditambah dengan penajaan yang diterima, ulangtahun saya di KBS ini menjadi bertambah istimewa,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian bersama antara PPBN dan pengeluar barangan sukan jenama Adidas di sini.

Turut hadir Pengurus Besar Adidas Malaysia, Max Ann dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Di bawah perjanjian tiga tahun (2016-2018) itu, Adidas bersetuju menaja segala kelengkapan yang berkaitan produk sukan yang dikeluarkannya bernilai RM1,2 juta kepada skuad elit PPBN dan skuad-skuad Akademi Bola Sepak Negara yang kini ditempatkan di Sekolah Sukan Malaysia.

Sehingga kini, melalui bimbingan pengarah projek ini iaitu bekas pemain kebangsaan Lim Teong Kim, pasukan Projek PPBN yang meliputi pemain berusia antara 7 hingga 17 tahun berjaya mengharumkan nama negara apabila skuad bawah 13 kebangsaan berjaya menjuarai Piala IBER yang berlangsung di Sepanyol pada 2015 selain menunjukkan mutu permainan yang memberangsangkan ketika menentang beberapa pasukan dari akademi terkemuka Eropah.

Sumber – Utusan Online, www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur