MAKLUMAT TERKINI

Skuad PPBN Tidak Pertahan Kejuaraan Piala Iber

19 Mei, 2016

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) tidak akan menyertai Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber 2016 berikutan keengganan penganjur membiayai skuad remaja negara selaku juara bertahan.

Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim berkata selaku juara edisi lepas, pihak penganjur perlu menjemput dan membiayai kos penyertaan Malaysia pada kejohanan berkenaan.

"Mereka jemput pasukan kelab akademi remaja Eropah tanpa perlu membayar apa-apa. Kita sebagai juara perlu ada maruah dan dipandang tinggi.

"Saya tidak mahu pemain kita, walaupun sudah menang masih dianggap pemain kelas bawahan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara PPBN dan Adidas Malaysia di sini hari ini.

Skuad kendalian Teong Kim itu melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol.

Malaysia mengalahkan pasukan B-13 Akademi Bola Sepak dari Portugal, Sporting Lisbon, 2-1 pada aksi final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol.

Teong Kim berkata pasukannya, bagaimanapun menerima jemputan daripada kelab Paris Saint-Germain (PSG) untuk beraksi pada kejohanan Piala Elit B-14 di Mougins, Perancis pada 11 dan 12 Jun ini.

Pasukan PPBN akan mengadakan jelajah Eropah melibatkan negara seperti Jerman, Austria, Perancis, Itali dan Switzerland sebelum ke Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara rantau Asia Tenggara, sebagai pendedahan.

Sumber – Bernama, www.bernama.com
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur