Teong Kim: Jangan gadai maruah
19 Mei, 2016
Lim Teong Kim
PENGARAH Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim tidak mahu menggadaikan maruah skuad kendaliannya untuk ‘membayar’ bagi menyertai Iber Cup 2016 yang berlangsung di Lisbon, Portugal pada 28 Jun hingga 3 Julai ini.
Menurut Teong Kim, skuad bawah 13 kendaliannya itu berjaya menjuarai Iber Cup 2015 di Costa Del Sol, Sepanyol jadi tidak seharusnya sebuah pasukan juara dilayan sedemikian.
“Saya tak nak skuad kita dilayan ibarat pilihan kedua, mereka jemput kita untuk main tapi suruh kita tanggung belanja sendiri.
“Jadi kenapa kita perlu rendahkan diri kita? maruah kita untuk main dengan mereka? Oleh itu saya putuskan kita tidak perlu sertai mereka tahun ini,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, selaku juara skuad bawah 13 tahun kita harus mendapat layanan yang sepatutnya.
Bagi menggantikan kejuaraan itu, skuad elit bawah 14 tahun itu akan menyertai Under 14 Elite yang berlangsung di Mougins, Perancis pada 11 hingga 12 Jun ini.
Teong Kim berkata, dalam arena bola sepak kemenangan bukanlah penentu kejayaan sesuatu pasukan sebaliknya ia lebih kepada kekerapan beraksi di padang mampu membangunkan kreativiti sesuatu pasukan.
Skuad bola sepak Bawah 13 (B-13) Malaysia di bawah PPBN melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol, tahun lalu.
Skuad kendalian Teong Kim yang tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan berkenaan mengalahkan skuad B-13 Akademi Bola Sepak dari Portugal, Sporting Lisbon, 2-1 pada aksi final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol.
Sumber – Janatul Firdaus Yaacob, Sinar Online,
www.sinarharian.com.my