SKUAD NFDP JALANI JELAJAH EROPAH
19 Mei, 2016
Bagi mengorak langkah yang lebih kukuh dan cemerlang, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bakal menghadapi Jelajah Eropah, bulan depan untuk meletakkan pemain muda negara di tahap tertinggi pada peringkat antarabangsa.
Ia sebahagian daripada rangka pembangunan di mana mereka seterusnya akan berpeluang beraksi di Jepun, Korea Selatan dan sekitar Asia Tenggara.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jalamuddin, yang hadir dalam sidang media pengumuman perjanjian kerjasama selama tiga tahun bersama adidas Malaysia hari ini, berharap penajaan ini akan merancakkan lagi pembangunan bola sepak seawal usia yang muda.
"Melalui perjanjian kerjasama ini, kami lebih yakin PPBN akan mempunyai peralatan terbaik untuk menghadapi pelbagai program besar yang bakal dihadapi.
"Kami mengalu-alukan komitmen adidas untuk bersama-sama mengasah bakat-bakat muda ini.
"Saya begitu yakin dengan penglibatan adidas dan ini membolehkan kami untuk lebih fokus dalam membangunkan bakat muda berusia 7-17 tahun dengan objektif utama untuk membina 300 pusat latihan di seluruh negara.”
Sebelum ini, skuad NFDP berjaya mengharumkan nama negara apabila skuad bawah-13 tahun negara berjaya menjuarai Piala IBER di Sepanyol, tahun lalu.
Semestinya Jelajah Eropah akan datang ini dapat memberi pendedahan berguna buat pemain muda.
Kerjasama dengan adidas bernilai RM1.2 juta ini diharap dapat membantu mereka menghadapi program besar akan datang bagi memberi nilai yang lebih berkualiti kepada pemain muda.
Ia membuktikan komitmen adidas Malaysia yang sentiasa menunjukkan minat terhadap pembangunan bakat muda negara.
Pengurus Besar adidas Malaysia, Max An, berkata, "Hari ini adalah hari yang istimewa buat adidas kerana kami begitu teruja untuk menjalin kerjasama dalam menjadi penaja pakaian rasmi PPBN dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.2 juta dari 2016 hingga 2018.
“Dengan kerjasama ini, kami berhasrat untuk meningkatkan mutu bola sepak Malaysia dan memberi nilai tambah kepada kualiti yang dimiliki pemain muda kita.
"adidas Malaysia sememangnya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan PPBN dan jenama kami bakal dikenakan oleh pemain muda kita di atas padang."
Sumber – Stadium Astro,
www.stadiumastro.com