21 jurulatih sertai Kursus Kejurulatihan “C” AFC/FAM/NFDP sesi pertama tahun ini
10 Mei, 2016
Ketua Pencarian Bakat PPBN, P.Ganasamurthy bertanggungjawab memantau perlaksanaan
program pembangunan kejurulatihan PPBN di peringkat nasional. (Gambar Arkib)
Seramai 21 jurulatih berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen ‘C’ AFC/FAM/NFDP yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah, baru-baru ini.
Kursus yang berlangsung selama dua minggu bermula dari 17 April hingga 1 Mei 2016 ini telah menghimpunkan majoriti jurulatih-jurulatih Akademi Tunas dan Pusat Latihan Daerah yang bernaung di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).
Kesemua jurulatih yang terlibat telah mengikuti kursus ini secara teori dan praktikal di padang bagi membantu jurulatih lebih memahami ilmu yang diberikan mengikut piawaian ‘Lesen C’ yang telah ditetapkan.
Ketua Pencarian Bakat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) , P.Ganasamurthy telah ditugaskan sebagai tenaga pengajar dan dibantu oleh Penyelaras Teknikal Sekolah Sukan Malaysia, Raja Azlan Shah Raja So’ib.
Seusai sesi pertama, sesi kedua Kursus Kejurulatihan Lesen ‘C’ AFC/FAM/NFDP dijangka akan dianjurkan pada Julai dan akan melibatkan barisan jurulatih yang lain. Selain itu, kursus awalan penjaga gol juga akan dianjurkan pada 23 hingga 27 Mei 2016, juga melibatkan jurulatih-jurulatih di bawah PPBN.
Pembangunan jurulatih merupakan salah satu elemen penting yang termaktub di dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara 2014-2020, dan penganjuran program seumpamanya merupakan salah satu program kejurulatihan di dalam kalendar tahunan PPBN, sebagai satu langkah membantu jurulatih yang bernaung di bawah PPBN untuk mendapat akreditasi kejurulatihan yang sah.
Sumber - Umar Shafiz, Planet Bola.
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur