Pembelian FC Bari 1908 diharap beri impak positif
27 April, 2016
KHAIRY (dua dari kanan) tekun melihat satu demonstrasi sukan ekstrem
pada majlis prapelancaran Hari Belia Negara 2016 di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap pembelian kelab Itali, FC Bari 1908 oleh hartawan dari Malaysia, Datuk Dr. Noordin Ahmad akan memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak negara pada masa hadapan.
Menurut Khairy, pada peringkat permulaan adalah sukar untuk melihat sebarang sumbangan kepada pembangunan bola sepak negara namun pada masa hadapan mungkin akan ada sesuatu yang baik untuk bola sepak hasil pembelian kelab yang beraksi di Serie B Itali itu.
“Saya tidak pasti sejauh mana kerjasama yang boleh wujud melalui pembelian kelab FC Bari 1908 dengan pembangunan bola sepak negara, peringkat awal memang tidak ada sebarang perancangan. Mungkin ada peluang untuk kita bekerjasama selepas ini.
“Mungkin juga selepas ini akan ada pasukan atau kelab bola sepak Malaysia menjalinkan kerjasama dengan kelab FC Bari 1908 dalam segi pembangunan dan pendedahan kepada jurulatih dan pemain termasuk menghantar pemain berlatih di sana,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu Khairy merasmikan Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Negara 2016 yang akan dianjurkan oleh kementerian pada 15 Mei depan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan tema The Future Is Now selari dengan peranan belia yang akan menerajui negara pada masa akan datang.
Mengulas sama ada pembelian itu bakal memberi impak berbeza berbanding pembelian kelab England, Queens Park Rangers (QPR) dan Cardiff City oleh Tan Sri Tony Fernandes serta Tan Sri Vincent Tan, Khairy berkata:
“Pembelian dua kelab luar negara itu sebelum ini turut menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.
“Kita tidak boleh kata pembelian kelab luar negara sebelum ini tidak memberi kesan kerana mereka ada juga menyumbang, misalnya Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) mendapat penajaan yang besar dan menjalin kerjasama strategik dengan QPR.
Sebelum ini Noordin, dalam sidang akhbarnya selepas memeterai perjanjian pembelian saham kelab tersebut, mendedahkan perancangannya untuk menubuhkan akademi bola sepak FC Bari 1908 di Malaysia, seterusnya memberi peluang kepada bakat muda di negara ini untuk menjadi pemain profesional.
Noordin menjadi pemegang saham majoriti FC Bari 1908 selepas membeli 50 peratus saham dengan nilai 12 juta euro (RM52.59 juta) daripada Presiden FC Bari 1908, Gianluca Paparesta yang sebelumnya pemilik 95 peratus kepentingan kelab tersebut yang kini sedang mengintai peluang untuk beraksi di Serie A pada musim hadapan.
Sumber - Suhana Md. Yusop, Kosmo! Online