MAKLUMAT TERKINI

‘Betul kata Khairy’ Kim Swee anggap masalah ‘material’ adalah realiti

11 April, 2016

Ong Kim Swee (kanan) diberi tugas yang amat mencabar untuk membawa
Malaysia menempatkan diri dalam kelompok 140 terbaik dunia dalam
tempoh dua tahun, meskipun dilihat tidak memiliki barisan pemain
yang cukup bagus untuk memenuhi misi tersebut.

KUALA LUMPUR 10 April - Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee sama sekali tidak menidakkan apa yang diperkatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengenai masalah utama bola sepak negara ketika ini.

Malah beliau menegaskan, ke­nyataan Khairy bahawa Malaysia tidak memiliki material (pemain) yang cukup bagus untuk mencatat keputusan cemerlang adalah realiti bola sepak negara ketika ini.

Kata Kim Swee, itulah cabaran sebenar yang perlu digalas olehnya sejak mengambil alih jawatan jurulatih skuad senior pada Januari lalu.

“Bagi saya apa yang dicakapkan oleh YB Khairy adalah dari sudut realiti dan pemikiran realistik.

“Kita tak boleh nak dapat lebih baik daripada 174 (ranking) atau ranking 150 dunia pada hujung tahun ini dengan apa yang kita ada sekarang (pemain sedia ada).

“Sebelum ini saya juga pernah cakap bukan sesuatu yang tidak re­levan untuk capai ranking 140 dan kalau nak capai angka 100 pun ia masih relevan tetapi kita perlu ­realistik daripada jumlah perlawanan yang kita akan bermain dan juga kemenangan yang diperolehi setakat ini.

“Jadi tempoh yang diberikan sahaja bagi saya perlu relevan, sama ada setahun, dua tahun, tiga tahun atau lima tahun yang diperlukan untuk mencapainya.

“Ini merupakan tugas yang cukup mencabar kepada saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khairy ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan ranking yang dialami pasukan negara semalam berkata, beliau tidak terkejut apabila Harimau Malaysia menjunam ke kedudukan terburuk ke-174, sebaliknya bersimpati dengan Kim Swee.

Katanya, tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mele­takkan sasaran kelompok 140 du­nia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai jurulatih itu terlalu berat dan sukar.

Malah, beliau turut mengibaratkan nasib Kim Swee seperti seorang tukang masak yang diberi ikan kembung sebagai bahan mentah, tetapi diminta memasak ikan patin tempoyak atau masakan setanding chef terkemuka.

Kim Swee, 45, bagaimanapun me­negaskan, beliau tidak terlalu bimbang dengan perkembangan semasa ranking skuad kebangsaan kerana perbezaan antara Malaysia dengan pasukan seperti Thailand, Vietnam serta Myanmar hanya daripada segi ranking bukannya persembahan.

“Perbezaan kita dengan Thailand, Vietnam, Myanmar adalah daripada segi ranking bukan daripada segi persembahan.

“Kita perlu faham, ranking ini bukan dikira daripada satu perlawanan ke satu perlawanan ia dikira daripada perlawanan dua hingga tiga tahun.

“Malah, keputusan yang dicapai dalam tempoh dua tiga tahun dahulu juga diambil kira jadi. Ran­king ini dia ada banyak mekanisme,” ujarnya lagi.

Sumber - Mohammad Rozaidi Zulfikli, Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur