Jurulatih sukarelawan punyai peranan dalam PPBN
6 April, 2016
Jurulatih memainkan peranan yang amat penting dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) kerana segala tunjuk ajar mereka kepada pemain muda ini akan meninggalkan kesan yang amat mendalam dan berpanjangan.
Sehubungan itu, adalah amat penting bagi aspek kejurulatihan juga diberikan perhatian yang serius di bawah PPBN. Malah aspek kejurulatihan ini turut termasuk dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara di bawah teras strategik 4 iaitu meningkatan pembangunan kejurulatihan.
Jika mengikut perancangan pelan tersebut PPBN memerlukan seramai 2,472 jurulatih bertauliah yang menepati syarat untuk melatih seramai 51,125 pemain muda menjelang 2020. Kini beberapa program pembangunan jurulatih telah dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut antaranya program pendidikan semula (Re-Education), penilaian berkala dan persijilan, kursus kejurulatihan, penyelarasan program kejurulatihan dan pendedahan peringkat antarabangsa.
PPBN juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada program ini sebagai jurulatih sukarelawan dan juga jurulatih separuh masa. Kesemua jurulatih di bawah PPBN, akan didedahkan kepada aspek latihan terkini yang telah disediakan oleh PPBN.
Dengan pertambahan jurulatih serta pusat latihan, lebih ramai yang bakal diberi peluang untuk menimba pengalaman dalam bidang kejurulatihan. Asas kejurulatihan dan pengalaman kukuh yang diperolehi dalam program ini seharusnya mampu membantu para jurulatih untuk terus mara ke era profesional.
Ekhsan Bukharee kini menjadi Jurulatih AT Petaling Perdana bawah 9 tahun
Pengalaman itu turut dikongsikan oleh dua jurulatih dari Akademi Tunas Petaling Perdana dan Akademi Tunas Bandar Tun Razak iaitu Ekshan Bukharee dan Abdul Rahim Abd Rahman. Mereka yang sebelum ini bermula sebagai jurulatih sukarelawan kini telah berkhidmat sebagai Jurulatih Separuh Masa (JSM) di Akademi Tunas (AT) masing-masing.
Menurut Ekshan beliau tertarik dengan misi dan visi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) iaitu untuk melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten dan mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak yang sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan kuantiti serta kualiti pemain bola sepak negara . Disebabkan itu beliau telah mengambil keputusan untuk mengikuti program ini.
“Jika dilihat dengan pencapaian pasukan bola sepak kini, kita sebenarnya sudah ketinggalan jauh. Kita harus membuka lembaran baru dan saya percaya dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara ini ia mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak kita” tegas Ekshan. Tambahnya lagi.
“Hanya orang yang cintakan bola sepak negara sahaja sedar atas apa yang telah berlaku dan mereka perlu bersama-sama membantu program ini”.
Ekshan kini telah ditugaskan untuk melatih pasukan AT Petaling Perdana bawah 9 tahun. Selain itu beliau diberi peluang untuk menjadi penolong jurulatih bagi pasukan bawah 12 tahun yang akan beraksi di Liga Akademi Tunas Zon.
Jurulatih AT Bandar Tun Razak bawah 8 tahun , Abdul Rahim Abd Rahman
Bagi Abdul Rahim pula yang merupakan Jurulatih Separuh Masa di Akademi Tunas Bandar Tun Razak minatnya yang mendalam dalam sukan bola sepak membuatkan beliau ingin berbakti untuk bola sepak negara melalui program PPBN ini sebagai jurulatih.
“Peluang yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Pusat AT Bandar Tun Razak yang memberikan tawaran kepada saya untuk menjadi jurulatih separuh masa membuatkan saya terus bersemangat untuk membantu bakat-bakat muda ini” kata Abdul Rahim.
Mengulas mengenai tanggungjawab dan peranan beliau, ketika menjadi jurulatih sukarelawan peranan beliau hanya di padang sahaja untuk membantu jurulatih lain melatih bakat-bakat muda ini namun kini setelah menjadi jurulatih separuh masa peranannya lebih menyeluruh antaranya beliau perlu membuat laporan mengenai pemain, corak latihan, pangkalan data, pendaftaran pemain, pendaftaran insuran pemain dan banyak lagi dimana tanggunjawab itu lebih besar.
Abdul Rahim kini ditugaskan untuk menjaga pasukan Akademi Tunas Bandar Tun Razak bawah 8 tahun. Secara keseluruhan beliau berharap agar kesemua pemain di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara ini boleh maju kehadapan mengikut DNA yang telah diperkenalkan oleh Pengarah PPBN , Lim Teong Kim.
Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada Program ini sebagai jurulatih anda boleh melakukan permohonan melalui laman web kami di
www.planetbola.my atau di talian 03-8992 9073.
Sumber - Umar Shafiz, Planet Bola.