Kenyataan Teong Kim ada asasnya - Shapawi
17 Mac, 2016
Datuk Ahmad Shapawi Ismail (jingga). Sumber - Kosmo!
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mempertahankan kenyataan Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim yang mempersoalkan tindakan beberapa pihak tertentu terlalu memandang tinggi terhadap saingan Piala AFF Suzuki dan Sukan SEA sehingga melupakan pencapaian sebenar, lapor Ahmad Fazli Mohd. Yadi.
Jelas Shapawi, kenyataan Teong Kim itu harus diambil perhatian dan ia tidak bermaksud untuk merendahkan taraf dua kejohanan tersebut.
Katanya lagi, tindakan Teong Kim itu tidak perlu dijadikan isu kerana maksud sebenar kenyataan itu adalah mahu menunjukkan bahawa bola sepak negara harus memiliki penanda aras yang lebih tinggi berbanding Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea.
"Memang betul apa yang dikatakan Teong Kim itu. (Jika) nak berjaya di peringkat dunia, kita harus kejar kejayaan pada kejohanan yang lebih berprestij daripada Piala AFF dan Sukan SEA.
"Beberapa buah negara Asia telah berjaya layak ke Piala Dunia seperti Iran, Arab Saudi, Iraq, Korea Selatan, Jepun dan sebagainya. Sukan SEA adalah satu persinggahan sahaja atau medan untuk menimba pengalaman.
"Contoh yang paling jelas dan senang difahami seperti sukan terjun yang berjaya meraih kejayaan di peringkat dunia dengan menjadikan saingan di peringkat Asia sebagai sasaran utama.
"Kejayaan pasukan terjun negara memegang status sebagai kuasa no 2 di Asia bermakna kita sudah berjaya letakkan diri di peringkat dunia kerana China adalah juara dunia.
Sekiranya berhasrat menjadi juara dunia atau pemenang pingat emas pada Sukan Olimpik, kita kena merapatkan jurang kita dengan China dan itulah yang telah berjaya kita lakukan dalam sukan terjun," kata Shapawi ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Teong Kim melahirkan kekecewaannya apabila beberapa pihak terlalu memandang tinggi Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea berbanding misi untuk menempatan diri dalam kelompok terbaik Asia.
Sumber - Ahmad Fazli Mohd. Yadi, Kosmo!