"Tunku Ismail Orang Berani, Yang Lain Penakut" - Lim Teong Kim
14 Mac, 2016
Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim
Kelantangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan kemajuan sukan bola sepak negara disokong sepenuhnya oleh Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim.
Menurut Lim Teong Kim, inilah perkara yang perlu dilakukan bagi setiap pasukan bola sepak di Malaysia sambil menyelar kepada ramai pihak yang tidak berani untuk mengeluarkan pendapat atau kritikan dalam memajukan bola sepak negara.
"Apa yang dibuat oleh pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) memang bagus." ujar beliau sewaktu ditemuramah oleh wakil mStar Online.
Namun malangnya, hanya pasukan JDT yang benar-benar serius dalam meningkatkan mutu bola sepak negara. Tambahan beliau, pasukan-pasukan lain perlu melakukan seperti apa yang JDT telah laksanakan. Beliau turut memuji pasukan JDT yang telah melakukan perubahan yang drastik untuk pasukan mereka sendiri termasuklah akademi dan padang latihan.
Pasukan Johor Darul Ta'zim. Sumber - jdttv.my
Lim Teong Kim merasakan Liga Malaysia masih belum mencapai liga profesional sekiranya tiada akademi-akademi bg setiap pasukan. Malah beliau turut berpendapat bahawa pasukan-pasukan yg terlibat dalam Liga Malaysia perlu ada padang latihan untuk menjadikan Liga Malaysia ke tahap profesional.
Mengambil contoh bola sepak di negara China, Pengarah Projek PPBN ini merasakan bahawa bola sepak di negara tersebut bakal jatuh kerana tiada program pembangunan akar umbi yang sepatutnya. Selain itu, Lim Teong Kim juga turut berpendapat dana yang digunakan untuk pasukan senior terlalu besar dan tiada dana yang secukupnya digunakan untuk peringkat akar umbi di negara tembok besar itu.
Selain itu, Lim Teong Kim turut mengulas tentang kekalahan pasukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Apabila pasukan kebangsaan kalah, semua akan menyalahkan jurulatih dan pemain."
Lim Teong Kim berpendapat golongan ini tidak patut disalahkan, malah yang perlu disalahkan adalah badan-badan yang memegang tampuk kepimpinan bola sepak negara.
Turut ditanya oleh wakil mStar Online tentang siapakah tokoh penting dalam bola sepak. Tanpa berfikir panjang, Lim Teong Kim menyenaraikan Tan Sri Elyas Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri sebagai tokoh bola sepak negara.
"Mereka ini mempunyai niat yang baik untuk bola sepak negara." alasan beliau dalam memilih Tan Sri Elyas Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri sebagao tokoh bola sepak negara.
Sumber - Zainal Azhar Mohamed & Suryati Mohd Nor, mStar Online
www.mstar.com.my