Dua skuad SSTMI bawa pulang mata penuh
7 Mac, 2016
Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) bermula dengan langkah kanan apabila kedua-dua pasukan mereka berjaya membawa tiga mata penuh setelah memenangi perlawanan pertama Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia yang berlangsung hujung minggu lalu.
Osmera Omaro (kanan) merupakan antara jurulatih yang terlibat di dalam Jelajah ASEAN 2015.
Bagi kategori bawah 14 tahun, SSTMI yang bermain di dalam Liga Super dikendalikan oleh jurulatih, Osmera Omaro tidak mengalami sebarang masalah apabila pasukan beliau mudah menewaskan pasukan SSN Selangor (SMK Seksyen 11) dengan jaringan 3-0.
Biarpun mereka menang pada perlawanan pertama , Osmera berkata masih awal baginya untuk menilai persembahan anak buahnya secara menyeluruh.
“Latihan akan diteruskan seperti biasa dan tiada perubahan dari segi perancangan pasukan setakat ini. Keadaan mungkin berbeza dan berlaku perubahan ketika di pertengahan musim. Kita tunggu dan lihat.” kata jurulatih yang baru sahaja memperoleh lesen kejurulatihan ‘A’ baru-baru ini.
Bagi pasukan SSTMI B15 & B16 yang bermain di Liga Super bawah 17 tahun, mereka tidak mengalami sebarang masalah untuk menundukkan pihak lawan apabila menang mudah dengan jaringan 4-0. Pertemuan diantara SSTMI B15 & B16 menentang SSN Selangor B17 berlangsung pada pagi Ahad lalu setelah perlawanan ditunda pada hari sebelumnya. Kedua-dua perlawanan berlangsung di SMK USJ 23, Shah Alam.
Pasukan kendalian Osmera dan SSTMI B15 & B16, kendalian Richard Scully akan bertandang ke Temerloh untuk perlawanan kedua mereka menentang pasukan SSN Pahang ( SMK Seberang Temerloh) pada minggu ketiga perlawanan pada 12 Mac.
Kedudukan terkini Liga Kementerian Pendidikan Malaysia Bawah 14 tahun.
Kedudukan terkini Liga Kementerian Pendidikan Malaysia Bawah 17 tahun.
Jadual perlawanan rasmi Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia boleh dimuat turun di laman web
www.planetbola.my.
Sumber - Umar Shafiz, Planet Bola
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur