21 Jurulatih sertai Kursus Kejurulatihan Lesen ‘B’
3 Mac, 2016
JENGKA, PAHANG : Seramai 21 jurulatih di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dari seluruh negara kini berkumpul di UiTM Jengka, Pahang bagi menyertai Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen ‘B’ anjuran PPBN dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kursus yang sedang berlangsung selama 3 minggu bermula 29 Februari hingga 20 Mac 2016 ini dikendalikan oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) , A. Gopalkrishnan dan dibantu oleh Ketua Pencarian Bakat, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) iaitu P.Ganasamurthy.
Ketua Pencarian Bakat PPBN, P.Ganasamurthy terlibat dalam semua
penganjuran kursus kejurulatihan anjuran PPBN.
Kursus ini merupakan program lesen kejurulatihan pertama dianjurkan pada tahun ini oleh PPBN dalam misi memberi peluang kepada para jurulatih yang memegang lesen ‘C’ untuk menimba ilmu baharu sekaligus memperbaharui peringkat lesen kejurulatihan. Para jurulatih akan berkampung selama 3 minggu dan diterapkan pembelajaran teori dan teknikal sebelum mereka dinilai untuk mendapatkan lesen tersebut.
Pemerkasaan ilmu kejurulatihan merupakan salah satu teras strategik
Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara 2014-2020.
Penganjuran program seumpanya merupakan salah satu program kejurulatihan di dalam kalendar tahunan PPBN, dan dijadualkan akan ada beberapa kursus kejurulatihan bakal berlangsung sepanjang tahun, melibatkan jurulatih-jurulatih yang bernaung di bawah PPBN.
Sumber - Umar Shafiz, Planet Bola.
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur