MAKLUMAT TERKINI

Misi Mencari Pelapis Diteruskan, Pemilihan Terbuka Akademi Tunas Bandar Tun Razak Akan Berlangsung Hujung Minggu Ini

29 Januari, 2016

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi ketetapan bagi setiap Akademi Tunas (AT) di seluruh negara untuk mengadakan pemilihan terbuka secara tahunan, seiring dengan kehendak Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang mengunjurkan polisi ‘pintu terbuka’ dalam semua perlaksanaan program. Hampir keseluruhan pusat-pusat AT telah pun selesai menganjurkan pemilihan terbuka di pusat masing-masing.

Tidak ketinggalan AT Bandar Tun Razak yang akan mengadakan pemilihan terbuka bagi semua kategori umur pada hari Sabtu dan Ahad ini. Menjelang pemilihan tersebut, Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) WP Kuala Lumpur, Wan Rizuan Wan Mohamad menagih sokongan ibu-bapa untuk menghantar anak mereka ke pemilihan tersebut.

“Sudah pasti kita mahu lebih ramai bakat mencuba nasib di pemilihan terbuka ini. Kita tidak mahu terlepas pandang bakat yang tidak terpilih sebelum ini, mungkin ada daripada mereka yang lebih baik daripada pelatih sedia ada dan kemudian kita asah mereka ke peringkat yang lebih tinggi.” jelas beliau.

AT Bandar Tun Razak merupakan medan latihan kepada beberapa pelapis remaja negara sebelum dipanggil membarisi skuad remaja kebangsaan. Ikmal Zikram Jonisman merupakan salah satu bekas pelatih AT Bandar Tun Razak yang diberi kepercayaan mewakili skuad Malaysia bawah 13 tahun di Jelajah United Kingdom pada September tahun lepas, diberi pendedahan menentang pasukan-pasukan ternama di England.

Aksi Ikmal Zikram (biru) ketika mewakili Malaysia B-13 menentang Sheffield
Wednesday B-13, September lalu.

Selain itu, nama-nama lain seperti Nu’man Hakim Abdul Rahman, Muhd Ilham Aqil, Kieran Tan Ze Ren, dan Muhd Syaizwan Irfan juga merupakan antara pelatih AT Bandar Tun Razak ketika itu yang diberi peluang mewakili Malaysia Cougars B-12 dan Malaysia Panthers B-12 dalam saingan Piala SuperMokh 2015 yang melibatkan akademi-akademi bertaraf antarabangsa. Malaysia Cougars B-12 muncul johan dalam kejohanan tersebut, menewaskan Malaysia Panthers B-12, 1-0 dalam aksi perlawanan akhir.

Kieran Tan Ze Ren, bekas pelatih AT Bandar Tun Razak yang bersekolah di Cempaka
International School, Damansara.


Pastinya pencarian pelapis negara tidak terhenti di situ dan ada mutiara yang masih belum diasah dalam kalangan bakat-bakat baru di sesi pemilihan terbuka AT Bandar Tun Razak yang akan bermula esok.

Akademi Tunas Bandar Tun Razak kini menjalankan latihan harian di Padang C, Majlis Sukan Negara dan barisan kejurulatihan diketuai oleh Ketua Jurulatih Pusat, Zuwairi Hj. Mohamad.

Maklumat penuh pemilihan terbuka Akademi Tunas yang akan berlangsung pada hari esok dan lusa adalah seperti berikut:

AT
: AT Kubang Pasu
Tempat : Padang SK Jitra II
Tarikh : 30 & 31 Januari 2016 (10-12 tahun)
Masa : 4.30petang – 6.00petang
Hubungi : Suhaimi - KJP Kubang Pasu (013-4885922)

AT
: AT Petaling Perdana
Tempat : Padang SK Seksyen 7
Tarikh : 30 Januari 2016 (7-9 tahun)
Masa : 8.30pagi – 1.00tengahari
Hubungi : Nik Juhaisham – KJP Petaling Perdana (019-6932881)

AT
: AT Bandar Tun Razak
Tempat : Padang C1 & C2 ISN Bukit Jalil
Tarikh : 30 Januari 2016 (7-9 tahun)
  : 31 Januari 2016 (10-12 tahun)
Masa : 8.00pagi – 1.00tengahari
Hubungi : Zuwairi Hj Mohamad – KJP Bandar Tun Razak (019-2000699)

AT
: AT Alor Gajah
Tempat : Padang Pasar Masjid Tanah
Tarikh : 30 Januari 2016 (7-12 tahun)
Masa : 8.30pagi – 12.30tengahari
Hubungi : Zulfahmee – KJP Alor Gajah (018-2716757)

Sumber - Faliq Firdaus, Planet Bola

Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur