MAKLUMAT TERKINI

Menjelang Pemilihan Terbuka, KJRN N.Sembilan Saran Ibu Bapa Ambil Peluang

22 Januari, 2016

Sesi pemilihan terbuka melibatkan semua Akademi Tunas di Negeri Sembilan bakal berlangsung pada hujung minggu ini bakal membuka peluang kepada semua bakat-bakat muda berumur tujuh hingga dua belas tahun untuk memikat perhatian para jurulatih Akademi Tunas Seremban, Rembau dan Port Dickson yang dalam proses persiapan menghadapi musim 2016.

Sesi Pemilihan Terbuka Akademi Tunas bakal memilih pelatih berumur tujuh hingga
dua belas tahun di setiap Akademi Tunas yang terlibat.

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Negeri Sembilan, Mohd Fadzlyn Mohd Hanafi menyarankan agar semua ibu-bapa menghantar anak mereka yang dilihat mempunyai bakat dan kecenderungan dalam bola sepak. “Setiap tahun kita adakan pemilihan terbuka bagi melihat ada atau tidak bakat yang terlepas daripada pandangan kita. Jadi, semua ibu bapa diharap agar tidak melepaskan peluang ini dengan menghantar anak-anak mereka ke sesi pemilihan terbuka yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.”

KJRN Negeri Sembilan, Mohd Fadzlyn Mohd Hanafi

Penekanan pemilihan akan diberikan kepada bakat-bakat yang berumur sepuluh hingga dua belas tahun kerana bakal berdepan dengan musim yang penuh dengan kejohanan.

“Sekiranya terpilih, pendedahan kejohanan untuk para pelatih sangat banyak malah lebih daripada apa yang diperoleh akademi-akademi persendirian di luar sana. Para jurulatih setiap Akademi Tunas akan menjadi panel pemilih ketika sesi pemilihan dan sekiranya ada bakat yang tidak dipilih, pintu untuk bakat tersebut masih terbuka. Kita akan pantau dari semasa ke semasa,” kata Mohd Fadzlyn sambil menyasarkan sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa pada hari sesi pemilihan tersebut.

Di Negeri Sembilan, sesi pemilihan terbuka akan berlangsung di Stadium Mini Rembau (23 Januari 2016), Padang SK Seri Kelana Seremban (23 Januari 2016), dan Padang Merdeka Port Dickson (24 Januari 2016).

Bagi negeri-negeri lain, maklumat penuh pemilihan terbuka boleh dirujuk di www.planetbola.my.

Sumber - Faliq Firdaus, Planet Bola

Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur