MAKLUMAT TERKINI

Skuad B-13 PPBN makin menyerlah

5 Oktober, 2015

Kuala Lumpur: Ketika skuad Harimau Malaya masih terkapai-kapai memburu kemenangan pertama di peringkat antarabangsa musim ini, skuad bawah 13 tahun (B-13) Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) pula tampil lebih menyerlah malah mereka boleh dianggap sebagai sedang mengharungi tahun paling gemilang setakat ini.

Bermula dengan siri program Jelajah Eropah pada 29 Mei lalu yang membabitkan penjelajahan ke beberapa buah negara seperti Jerman, Austria, Sepanyol dan Portugal, skuad masa depan negara itu meneruskan siri Jelajah England bermula awal September sebelum pulang ke tanah air minggu lalu.

Daripada 34 aksi persahabatan dan kejohanan di sekitar Eropah, pasukan yang mendapat sentuhan bekas jurulatih remaja kelab Bayern Munich, Lim Teong Kim itu berjaya merekodkan 29 kemenangan dan tiga seri sambil mencatat dua kekalahan.

Kemuncak kepada prestasi skuad B-13 ialah apabila menjuarai kejohanan Piala Iber Costa del Sol di Marbella Sepanyol (27 Jun) selain melangkah hingga ke saingan suku akhir kejohanan Piala Iber Estoril di Portugal sebelum tewas di tangan skuad B-13 kelab gergasi Perancis Paris Saint Germain (PSG) 0-4.

Berdasarkan keputusan baik itu, jelas menunjukkan bahawa penubuhan PPBN setahun lalu kini berada di landasan tepat bagi melahirkan lebih ramai bakat yang boleh diharapkan untuk bersaing di pentas dunia.

Namun bagi Pengarah Kanan Unit Sokongan PPBN Safirul Azli Abu Bakar, biarpun statistik itu amat cemerlang, beliau beranggapan perjalanan PPBN masih jauh terutama soal melahirkan jurulatih berkualiti tinggi disamping menambah lebih banyak pusat latihan di setiap daerah.

“Di peringkat atasan memang keputusan perlawanan sepanjang musim ini apabila diambil kira, kami (PPBN) boleh dianggap berjaya. Namun di peringkat bawahan sebenarnya masih banyak perkara yang belum selesai.

“Kami ketika ini sedang giat membuka lebih banyak pusat latihan di setiap daerah bagi membolehkan objektif melahirkan seramai 500,000 pemain berkualiti mampu dicapai dalam tempoh yang sudah ditetapkan.

“Bukan itu saja, kami juga perlu melatih lebih ramai jurulatih setanding Teong Kim dengan mengamalkan kaedah dan teknik bola sepak moden yang akhirnya akan dihantar ke pusat latihan bagi menerapkan falsafah atau DNA mengikut acuan kita sendiri.

“Saya yakin jika semuanya berjalan seperti mana dirancang, sasaran untuk layak ke Piala Dunia B-17 pada 2019 nanti, bukanlah sesuatu yang mustahil malah jurang antara pemain kita (skuad B-13) dengan remaja di Eropah boleh dikatakan setanding atau mungkin lebih baik lagi,” katanya.

Sumber - Harian Metro Online, www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur