Rangel Minat Sarung Jersi Malaysia
5 Mei, 2015
Sepang: Penyerang Terengganu Paulo Rangel (gambar) berminat menyarung jersi kebangsaan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi lampu hijau kepada jurulatih Dollah Salleh menggunakan lima pemain import liga tempatan bagi memperkuat pasukan Pilihan Malaysia bertemu Tottenham Hotspurs dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 27 Mei ini.
Menurut pemain berasal dari Brazil itu, jika diberi peluang dia mahu membantu pasukan Pilihan Malaysia menundukkan Spurs apatah lagi ia memberikan detik manis buatnya sebagai penyokong Chelsea iaitu musuh setempat kelab Liga Perdana Inggeris itu.
“Memang saya berminat untuk berkerja sama dengan Dollah (Salleh) kerana beliau antara pakar taktikal terbaik di Malaysia. Ia satu penghormatan kepada diri saya jika dipanggil menyertai Pilihan Malaysia.
“Sebagai peminat Chelsea, menentang Spurs pasti memberi detik istimewa buat saya kerana semua tahu tradisi permusuhan dua kelab London ini dalam Liga Perdana Inggeris,” katanya.
Rangel, penjaring terbanyak Liga Super musim lalu antara calon terbaik mengisi slot lima pemain import Pilihan Malaysia selepas Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam mengumumkan Dollah akan membawa pemain luar.
Sebelum ini jurulatih itu hanya mahu menurunkan pemain skuad Harimau Malaya sebagai medan menguji pemain sebelum kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 Jun ini.
Malah keputusan Dollah itu mengundang rasa tidak puas hati Ultras Malaya yang tidak mahu skuad negara terbabit dalam aksi yang dianggap ‘sarkas’ itu dengan melancarkan kempen boikot di laman sosial media.
Tengku Abdullah mengaku tidak mengetahui kempen itu sebaliknya menjelaskan penggunaan pemain import dalam pasukan Pilihan Malaysia antara rancangan awal mereka.
“Insya-Allah kita akan campur pemain tempatan dan lima pemain import untuk skuad Pilihan Malaysia. Pada ketika itu, ramai pemain negara dalam pasukan Johor DT (Johor Darul Ta’zim) terbabit dengan Piala AFC,” katanya.
Dollah tidak boleh memanggil pemain import Johor DT dan kemungkinan Pahang yang dijangka turut sama layak ke pusingan kalah mati Piala AFC bagi aksi menentang Spurs.
Sumber - Oleh Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur