Jaime Braganca Import Baharu Terengganu
19 Mac, 2015
PEMAIN Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq (kanan) menanduk bola ke gawang Terengganu
sebelum dihalang Paulo Ranger (kiri) dalam perlawanan ketiga Piala FA 2015 yang
berlangsung di Stadium Shah Alam selama 120 minit. Keputusan penuh
Selangor 1-3 Terengganu. -Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KUALA LUMPUR: Terengganu yang muncul pasukan keenam mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi bakal diperkuat seorang pemain import baharu apabila pintu perpindahan kedua dibuka, April ini.
Jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi mendedahkan pemain import baharunya itu ialah Jaime Braganca, seorang pemain tengah menyerang berasal dari Portugal tetapi kini baru saja mendapat kerakyatan Timor Leste.
"Brangaca kini di Timor Leste untuk menyelesaikan urusan pasportnya. Dalam sehari dua ini dia akan ke Kuala Terengganu untuk mengisi kekosongan slot seorang pemain import Asia menggantikan Hassan Chaito dari Lubnan yang mengalami kecederaan teruk sebelum musim bermula.
"Apabila Braganca selesai segala urusannya itu, kami akan mendaftarkannya terus apabila pintu perpindahan kedua dibuka, bulan depan," kata Abdul Rahman pada sidang media berkenaan.
Terengganu hanya menggunakan tiga pemain import - Paulo Rangel, Gustavo Lopez dan Vincent Bikana sepanjang lima aksi Liga Super musim ini dan juga dua aksi Piala FA.
Sementara itu, diminta mengulas kebangkitan Terengganu untuk menyingkirkan Selangor pada aksi yang berlanjutan ke masa tambahan, malam tadi, Abdul Rahman berkata, percaturannya menukar posisi Bikana dari posisi pertahanan ke posisi penyerang pada lima minit terakhir ternyata membuahkan hasil.
"Saya laung kepada Bikana, kamu jadi penyerang untuk lima minit terakhir ini. Ketika itu saya sudah buat dua pertukaran dan sudah terfikir kalau kita kena 2-0 pun tak mengapa. Alhamdulillah Bikana berjaya menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
"Selain itu, saya lihat Selangor main tempo begitu tinggi pada separuh masa pertama dan mereka mula perlahan pada babak kedua. Mungkin juga mereka sudah terlebih yakin selepas mendahului pada minit ke-21.
"Tapi yang penting, para pemain Terengganu sudah bangkit serta menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi untuk mencari kemenangan dan akhirnya berjaya menambah dua lagi gol pada masa tambahan (jaringan sendiri Robert Cornthwaite minit ke-104 dan Zairo Anuar Zalani minit ke-120)," jelas Abdul Rahman.
Sumber - Wan Fakhrul Bakar, wanfakhrul@bh.com.my , BH Online
www.bharian.com.my