MAKLUMAT TERKINI

Liga Super: FELDA Gah Di Atas; PDRM, ATM, Selangor Menang

14 Mac, 2015

KUALA LUMPUR: Gol tunggal daripada Edward Wilson pada babak kedua membantu FELDA United terus kekal selaku pendahulu Liga Super selepas menewaskan Kelantan 1-0 di tempat lawan, malam ini.

Turut ceria adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bangkit menewaskan Perak 3-1 di Ipoh manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencipta kejutan menumbangkan Pahang 1-0 di Paroi.

Selangor memanfaatkan peluang di gelanggang sendiri menewaskan Sarawak 2-0 manakala Sime Darby berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 di tempat sendiri.

PEMAIN Selangor, Raimi Mohd Noor (kiri) bersaing dengan pemain Sarawak,
Mohd Nazri Mohd Kamal pada perlawanan Liga Super, di Stadium Shah Alam.
- Foto Osman Adnan


Dalam perlawanan lain, Lions XII seri 1-1 menentang Terengganu di Stadium Jalan Besar.

Di Stadium Shah Alam, Selangor meneruskan rentak cemerlang meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas berjaya menewaskan Sarawak 2-0.

Selangor mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi tandukan Afiq Azmi seawal minit ke-10 sebelum pemain sayap gantian, Fittri Shazwan Raduwan menambah gol kedua selepas bijak memperdaya penjaga gol Sarawak, Fadzley Rahim, minit ke-77.

PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (dua dari kanan) bersaing dengan penjaga gol ATM,
Nor Fazly Alias dalam aksi perlawanan Liga Super Malaysia 2015,
di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. -Foto Hazreen Mohamad


Di Stadium Selayang, Sime Darby FC akhirnya berjaya meraih mata sulung musim ini selepas mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1.

Hajat skuad kendalian Ismail Zakaria meraih kemenangan pertama tidak kesampaian selepas jaringan pendahuluan Nazrul Kamarulzaman pada minit ke-35 berjaya disamakan JDT menerusi Junior Eldstal, minit ke-61.

Sementara itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, ATM mencatat kemenangan pertama musim ini dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh penyerang import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam pada minit ke-71.

PENYERANG pasukan FELDA United, Edward Junior Wilson (22) diasak oleh pemain
LionsXII FC pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Majlis
Perbadanan Selayang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria


Di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII juga gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Terengganu.

Pelawat bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit kesembilan melalui pemain import, Vincent Bikana, namun tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Faris Ramli pada minit ke-55.

Di Stadium Perak, PDRM pula bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menang 3-1 ke atas Perak - sekali gus menghuni tangga kedua liga di bawah FELDA.

Pasukan tuan rumah MENDAPAT jaringan pada awal babak kedua perlawanan menerusi Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-46.

Namun penyerang import Mali, Dramane Toure menjadi wira skuad 'The Cops' apabila menjaringkan gol pada minit ke-47 dan ke-60, selain gol daripada Ahmad Ezrie pada minit ke-55 untuk mengesahkan tiga mata penuh kepada pasukan pelawat.

Perlawanan kali ini dicemari dengan insiden kad merah, apabila pengadil perlawanan Samsuddin Ibrahim mengarahkan pemain Perak, Syazwan Roslan keluar padang kerana mengasari pemain PDRM, Ashfaq Ali pada minit ke-57.

Sementara itu, jaringan penyerang import dari Liberia, Edward Wilson pada minit ke-60 menceriakan FELDA mengatasi Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Original source - Amin Jalil Dan Nor Izuan Shamsuddin, bhsukan@bh.com.my, Berita Harian Online www.bharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur