MAKLUMAT TERKINI

Skuad Projek 2019 Berangkat Ke London untuk Timba Pengalaman

11 September, 2014


Kuala Lumpur - Skuad Projek 2019 yang berada di bawah seliaan Program Pembangunan Bolasepak Negara, berlepas ke London dua hari lepas bersama-sama dengan sekumpulan jurulatih PPBN untuk menyertai Program latihan bersama dan beberapa siri perlawanan persahabatan di sekitar kota London.

Program ini adalah hasil kerjasama PPBN dengan Tune QPR sebagai salah satu daripada rakan penaja nasionalnya. Delegasi PPBN yang diketuai oleh Pengarah Projek Lim Teong Kim ini akan dihoskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers selama 10 hari dan akan menjalankan latihan di Pusat Latihan QPR di pinggir kota London.

Seramai 24 pemain yang hampir kesemuanya baru sahaja menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan mendapat pendedahan yang amat bernilai daripada sesi-sesi latihan di Akademi Remaja QPR di bawah kendalian Pengarah Akademinya, Richard Allen.

Malah apa yang lebih mengujakan ialah, QPR telah berjaya mengatur beberapa perlawanan persahabatan diantara Skuad Projek 2019 dengan Akademi-akademi terkenal di sekitar London seperti QPR sendiri, Ipswich Town, Fulham, West Ham, Tottenham Hotspur dan kelab gergasi BPL, Chelsea.

Hasil inisiatif pembangunan kejurulatihan PPBN juga menyaksikan seramai 5 orang Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) bakal ditempatkan di QPR selama 6 minggu sehingga penghujung bulan Oktober untuk menerima lebih banyak ilmu kejurulatihan. Mereka terdiri daripada;

Mat Noor Bidin (KJRN Terengganu), Mohamed Fadzlyn Mohamed Hanafi (KJRN N.Sembilan), Muhammad Firdaus Aziz (KJRN Kuala Lumpur), Osmera Omaro (KJRN Sabah), dan Wan Rohaimi Wan Ismail (KJRN Kelantan).

Selain daripada itu, program ini juga disertai oleh wakil-wakil dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang juga merupaka pemegang taruh utama di dalam PPBN selain daripada Kementerian Belia dan Sukan.

FAM juga telah mengaturkan satu lawatan sambil belajar ke St George’s Park, iaitu Kompleks Latihan serba canggih yang baru dibina oleh Persatuan Bolasepak England. Semoga dengan apa yang dapat dilihat di pusat ini akan memberikan sedikit petunjuk dalam kita menyiapkan pembinaan Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur